Sepanjang ingatan
saya, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya.
Saya perlu catatkan
segala pembohongan itu untuk
menjadi renungan dan panduan anda semua.
Ambillah iktibar
daripadanya dan hayatilah sebaiknya kerana itulah ibuku!
01.PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA - Cerita ini bermula ketika saya masih
kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang
miskin.
Makan minum serba kekurangan. Kami sering
kelaparan.
Ada kalanya selama
beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1
keluarga.
Sebagai anak yang
masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk
yang banyak. Tapi mak cepat memujuk.
Ketika makan, mak
sering memberikan bahagian nasinya untuk saya.
Sambil memindahkan
nasi ke mangkuk saya, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar.".
02.PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA - Ketika saya mulai besar, mak yang gigih
sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air
berhampiran rumah.
Mak berharap dari
ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami
adik-beradik.
Pulang memancing,
mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
Sewaktu saya
memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan
yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.
Saya sedih melihat
mak seperti itu.
Hati saya
tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada mak.
Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak
suka makan ikan."
03.PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA - Di usia awal remaja, saya masuk sekolah
menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih
untuk menyara persekolahan saya, abang dan kakak.
Suatu dinihari,
lebih kurang 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur.
Saya melihat mak
sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya
lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk.
Saya berkata:
"Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum
dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi."
04.PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT - Di hujung musim persekolahan, mak
meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki
peperiksaan penting.
Ketika hari sudah
siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak terus sabar menunggu saya di
luar dewan.
Mak sering kali
saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus
ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika lonceng
berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut saya dan
menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya.
Kopi yang kental
itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh mak
yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu untuk mak dan
menyuruhnya minum.
Tapi mak
cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus."
05.PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA - Setelah pemergian ayah kerana sakit,
iaitu selepas adik saya baru beberapa bulan dilahirkan, maklah yang mengambil
tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga.
Mak bekerja
mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami
tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat
kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
Melihat keadaan
keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran
dengan kami, datang membantu mak.
Anehnya, mak
menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering
menasihati mak supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga
mak dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.
Tetapi mak yang
memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka.
Mak berkata:
"Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki."
06.PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM - Setelah kakak dan abang habis belajar
dan mulai bekerja, mak sudah pun tua.
Kakak dan abang
menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah
dan bersengkang mata untuk mencari duit, tetapi mak tidak mahu.
Mak rela pergi
pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya.
Kakak dan abang
yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi
keperluan mak, pun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut.
Malahan mak
mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada
duit."
07.PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH - Setelah tamat pengajian di universiti,
saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara.
Pengajian saya di sana
dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
Sarjana itu saya
sudahi dengan cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah
membiayai pengajian saya, juga di luar negara.
Dengan gaji yang
agak lumayan, saya berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di
luar negara.
Pada pandangan
saya, mak sudah puas bersusah payah untuk kami.
Hampir seluruh
hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak
habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang
baik hati, menolak ajakan saya.
Mak tidak mahu
menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa
tinggal di negara orang."
08.PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN - Beberapa tahun berlalu, mak semakin
tua. Suatu malam saya menerima berita mak diserang penyakit kanser.
Mak mesti dibedah
secepat mungkin. Saya menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat mak
terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan.
Mak yang kelihatan
sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
Mak menghadiahkan
saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang
menjalari setiap inci tubuhnya.
Saya dapat melihat
dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi
terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah
mak sambil berlinangan air mata.
Saya cium tangan
mak, kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya.
Di saat itu hati
saya terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini.
Setelah mengucapkan
pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali
terakhir kali.
Anda bertuah kerana
masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
Kalau ibu anda jauh
dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: MAK, SAYA SAYANGKAN MAK!
Tapi tidak saya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun
mengasihi mak lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya
membisikkan kata-kata itu ke telinga mak, sampailah saat mak menghembuskan
nafasnya yang terakhir.
Mak, maafkan saya. SAYA SAYANGKAN MAK...!!!
P/s : hanya cerita biasa dan tiada kaitan dengan sesiapa ^_^